logo jimjamaah islah malaysia (jim)

Dikemaskini pada 22-nov-02

laman utamaorganisasiinstitusiaktivitiperhubungansitemap

Ruangan Arkib Karya

Tawa dan Duka Remaja Nusantara (Sajak)
Remajaku... hayatilah erti kebebasan (Sajak)
Tangan-tangan Remaja (Cerpen)
Samudera Kehidupan (Sajak)

Tawa dan Duka Remaja Nusantara

Pembunuhan di Palestine
Pencerobohan di Afghanistan
Kebuluran di Sudan
Pembunuhan di Ambon
Penindasan di Cechnya/Bosnia

WTC...
Politik...
Militan...
Dan pengganas...

Hanyalah alasan
Insan kejam seperti Israel
Kerajaan rakus spt Amerika
Yang gilakan kuasa seperti Britain Dan Russia

Kanak-kanak
Remaja
Yang muda
Yang tua
Manusia, tanaman, bangunan, kehidupan
Jadi mangsa dan musnah
Oleh Ketamakan dan kekejaman insan

Kematian
Penderitaan
Kemiskinan
Kemunduran
Penindasan
Nasib umat nusantara terumbang ambing

Airmata Remaja Nusantara
Pernahkan kita teringatkan mereka semua

Aduhai remaja
Pernahkah terbayangkan kehidupan
Yang diulit jeritan peluru
Dan pekikan maut
Betapa sukar dan derita

Sungguh kehidupan mereka penuh ranjau dan cabaran
Penuh darah dan air mata
Sukarnya untuk menuntut ilmu
Makan minum tidak ketentuan
Namun walau derita masih tersenyum
Walau kekalutan tetap tabah
Tuhan tetap dihati, ugama di sanjung tinggi
Maruah dan aurat diri dipelihara
Walau derita tetap mulia

Aduhai Remaja..
pernahkah terbayang
Kehidupan tanpa video games
Lepak-lepak dikomplek
Berkirim salam melalui internet dan berchit-chat secara maya
Berkunjung kemasjid, sekolah, beli belah dengan selesa

Manakan sama airmata tawa kita dengan airmata duka mereka

Sungguh hidup kita penuh kemudahan dan keselesaan
Sedang hidup mereka penuh pelbagai ranjau

Manakan sama hidup kita yang penuh tawa dengan mereka yang disaluti darah dan airmata

Manakan sama sabar kita dengan ketabahan mereka

Tika kita keselesaan di dalam bilik hawa dingin
Mereka kehilangan harta benda dan tanahair
Tika kita selesa di saluti selimut tebal
Mereka tidur kedinginan dan kelaparan

Ketawa dan ketawalah lagi wahai remaja ku...

Kebanyakan masa kita kekenyangan
Kebanyakkan saat kita suka-suka nonton drama, tayangan hindi, nyanyian dan hiburan
Makan, pakai, belajar, beriadah, bereakrasi ikut suka hati

Ketawa dan ketawalah lagi
Wahai remaja penghuni tanahair yang indah, permai, subur, aman dan damai
Pantai nan bersih dan lautan terbentang indah
Dan nikmat Allah melata di bumi ini

Sayang nikmat yang ada tidak disyukuri
Nikmat ini dikau balas dengan lepak-lepak
Blak metal
Bohsia
Dadah
Maksiat
Dan pelbagai dosa...

Wahai remaja... dalam tawamu, cuba kenangkan...
Pada teman-teman sebayamu di Nusantara yang dicerobohi hak-hak mereka
Teringatkanlah pada diri
Kamulah pemimpin masa depan
Susunlah langkah-langkah mudamu
Menjadi batu-bata ummah yang sejati maruah diri
Kukuh aqidah dan pegangan pada Tuhanmu yang satu
Warnakanlah tanah air ini
Dengan wajah remaja pemimpin remaja
Dengan wajah remaja soleh lagi musleh
Dengan wajah remaja yang berakhlak dan berwawasan
Dengan wajah remaja yang impikan mati dalam iman
Dengan wajah remaja yang menjunjung tinggi agama

Berhentilah ketawa seketika
Tadahkanlah tangan-tangan kita
berdoa untuk sahabat remaja kita di nusantara
Agar mereka dilindungi, dirahmati dan diberi kemenangan oleh Ilahi
Berdoalah jua untuk diri
Agar kita dan remaja tanahair ini
...tidak ketawa lagi dalam kedurhakaan dan kelalaian
...tidak ketawa lagi dipenjara budaya kuning
...tidak ketawa lagi dijajahan tingkah laku negatif
...tidak ketawa lagi dalam maksiat dan dosa
Jadilah Remaja Mithali...Tunggak Kepimpinan
Hargailah kenikmatan
Dan insafilah keadaan remaja lain di Nusantara

Hasil Karya,
Roha bt Hassan

Remajaku... hayatilah erti kebebasan

Remajaku tercinta...
Hargailah erti kebebasan
Hayatilah erti kebebasan
Kebebasan dari Allah, ayahbonda, sahabat dan semua
...kerna harga kebebasan itu akan lebih bernilai dari darah
bila bumi indah menjadi KOSOVO

Remajaku sayang
renungilah nilai kebebasan kurniaan Allah
...kita hamba tapi bebas merdeka
...kita hamba tapi penuh limpah kenikmatan
...kita hamba tapi ditaburi rahmah dan kasih sayang

wahai remaja... penggerak perubahan
renungilah...
Apakah yang kamu fahami dari kebebasan yang kamu miliki
Apakah telah kamu syukuri nikmat kebebasan yang kamu kecapi
Apakah telah kamu benar-benar mengerti erti kebebasan

Remajaku tercinta
Bukanlah... yang dinamakan kebebasan itu
Kau bisa berbuat apa saja
Bukanlah... yang di namakan kebebasan itu
Kau bisa mundar mandir, lepak, ponteng sekolah, berpeleseran
Pergaulan bebas

Remajaku penyambung perjuangan
Kebebasan itu juga tidak akan ada lagi nilainya
Kalau jasadmu bebas tapi jiwa dijajah budaya barat yang berkarat
Kalau jasadmu bebas tapi mindamu tidak merdeka untuk berfikir
Kalau jasadmu bebas tapi hatimu tak dapat membezakan kebaikan dan keburukan

...kerna itu kebebasan sebagai hamba Allah yang beraqidah
...kerna itu kepercayaan seorang ayahbonda
janganlah digadaikan dengan sebuah keruntuhan akhlak

Hasil karya,
Roha bt. Hassan

Tangan-tangan Remaja

Nada hentakan yang hadir dalam kegelapan malam menyentak jantungku.Darahku berderau. Di tanganku sudah terhunus sebilah pisau belati. Nada hentakan tapak kaki itu semakin pantas, sepantas jantungku yang turut cemas. Aku berpaling, dan tombol pintu dapur itu meronta-ronta ingin terbuka. Aku hanya mampu mengedip mata menanti saat ia berjaya. Lalu ia akur.. berjaya.

Suara garau batukan yang turut sama hadir dalam getaran alam menghentikan aliran titik-titik jernih da dahiku.

"Oh, ayah.. ingatkan siapa tadi. Eh.. apa yang ayah buat di dapur ni? Ayah kan tak sihat? Mari, Mira bawa ayah pulang ke bilik," aku menghulur tangan, cuba berlembut sedaya yang mungkin. Namun ayah menepis enggan.

"Kau tak perlu tolong aku. Aku tahu balik sendiri!" Aku mengalah, masak dengan perangai ayah.

Aku mengiringi ayah ke bilikmya dengan ekoran anak mataku. Pisau belati yang berada di tangan kembali kusimpan di dalam laci. Selesai membasahkan tekak aku kembali ke kamar. Aku melintasi pintu bilik ayah dah telingaku jelas menangkap bunyi batuk Paraunya yang masih belum reda. Ah, ayah terlalu degil! Hendak kuhantar ke klinik dia tak mahu. Alasannya, batuk biasa sahaja.Aku tak betah melawan, kehendak ayah muktamad.

Aku melabuhkan punggung di birai katil. Kenangan mama tiba-tiba hadir berputar di benakku. Ibu pergi ketika melahirkan aku, begitu kata ayah. Seingatku ketika itu aku masih di tahun dua. Masih mentah. Namun kalimah itu tetap utuh pada ingatanku meski ayah tidak mahu lagi menyentuh soal itu.

Bayu malam Gelugur beralun lembut seribu bahasa menggigit kulit muka. Aku merenung malam. Sunyi, hanya berteman igauan unggas hutan. Sunyi yang menyimpan seribu satu makhfi yang sukar dimengeri oleh sekalian yang ada. Kesepian malam akhirnya terlerai dengan ganasnya hujan melimpah tak kira sempadan waktu. Lebat, pantas sahaja menurunkan hujan di kelopak mataku.

Ketahuilah alam, aku amat merindui belaian kasih seorang mama. Kenapa pencarianku tiada jumpa? Ayah marah-marah bila aku menyentuh soal mama. Dan kemudian ayah termenung berselang batuknya. Pasti ayah juga rindukan mama. Ayah sayangkan mama. Itu pasti, kerana ayah tidak cuba mencari mama lain untukku selepas pemergian mama. Hujan di luar telah surut. Namun pipiku masih panas. Dan tidurku malam itu berselimut seribu kesepian dan harapan.

Fajar menyinsing, aku kembali ke sekolah, berbasikal. Aku gagal menumpukan perhatian pada pelajaran hari itu. Aku sedar Cikgu Nani hairan dengan perubahanku. Masakan tidak, setiap hari waktu Sejarah, akulah yang acap bertanya itu ini, menjawab soalan dan sebagainya. Namun hari ini, aku hanya melepaskan Cikgu Nani dengan kelincahannya mengajar.

Aku asyik terkenangkan mama. Aku tidak pernah melihat wajahnya, juga gambarnya. Minta pada ayah? Nak mati! Hendak menyentuh soal mama pun susah, inikan pula meminta gambarnya.

"Munirah, terangkan peristiwa-peristiwa yang berlaku menyebabkan keretakan hubungan antara Malaysia dengan Indonesia."

Pernah sekali aku ditengkingnya kerana bertanyakan perihal mama. Dan kemudian batuk ayah bertambah parah dan terpaksa dikejarkan ke klinik. Aku tak mahu kejadian ini berulang lagi.

"Munirah!" Aku tersentak.

"Ya, cikgu. Er.. apa yang cikgu tanya tadi?" Cikgu Nani menggelengkan kepala. Aku tunduk tidak berani bersetentang dengannya.

"Jumpa cikgu selepas waktu sekolah."

Waktu petangku dihabiskan dengan pelbagai soal jawab dengan Cikgu Nani. Aku dinasihatinya. Beliau bertanyakan masalahku, namun aku hanya tunduk. Puas beliau memujuk, akhirnya aku luahkan padanya segalanya. Cikgu Nani memberikan peluang aku bercakap, tidak sedikit pun dia mencelah. Beliau akhirnya faham dan mempelawa aku pulang bersamanya.

Setibanya di rumah, perkarangan rumahku sesak. Aku cemas. Aku menggeleng. Air mataku pantas merembes keluar. Tuhan, jangan Kau ambil ayahku sesegera ini.. Aku meluru masuk bersama Cikgu Nani. Tanganku menggeletar, air mataku semakin laju ketika aku cuba menyelak kain putih yang menutupi sesusuk tubuh di hadapanku.

"A..a… ayaah.. Cikgu.. a..ayah saya, cikgu.. dia tinggalkan saya, cikgu.. apa salah saya, cikgu..?" Aku menembam muka ke pangkuan Cikgu Nani. Beliau turut terkejut melihat ayah.

Seminggu berlalu, seminggu juga aku tidak menjenguk sekolah. Semua yang hadir minggu lepas meninggalkan aku ucapan takziah mereka. Aku mencapai sampul putih di hadapanku. Dari ayah, kata Pak Seman.

Assalamualaikum Munirah,

Maafkan ayah kerana tidak dapat lagi bersama-sama dengan Mira menempuh hari-hari mendatang. Belajarlah rajin-rajin, anakku. Ayah sayangkan Mira. Mira, Mira masih punya mama, sayang.. Kami berpisah ketika kau berusia lima bulan, kerana tidak mampu menyara kau. Dia balik ke rumah ibunya di Gelugur. Carilah dia. Hanya dia yang dapat membantu Mira. Namanya Nor Mahani Parman.

Salam sayang dari ayah

"Cikgu Nani..??" Aku terpempan. Aku bergegas ke sekolah. Faridah menyatakan Cikgu Nani sudah seminggu tidak hadir, ambil cuti. Aku menarik nafas, dan segera ke rumahnya. Pintunya berkunci. Ah, cikgu.. di mana saja dirimu saat ini..?

Aku berpaling, dan itu dia!

"Cikgu Nani!!" Beliau berpaling, walau keadaan tidak mengizinkannya berbuat begitu. Cikgu di tengah jalan! Beliau membuka mulut mahu bersuara, namun takdir mengatasi segalanya. Sebuah kereta muncul entah dari mana, cuba berhenti. Tidak sempat. Tubuh Cikgu Nani disentuh jua. Cikgu Nani terbaring lesu.

Aku berlari memangku kepalanya. Bahagian tangan kanannya dibasahi cecair merah. Tubuhnya longlai, lemah. Pemandu kereta tadi segera maminta bantuan dari mereka yang berdekatan serta menghubungi ambulans.

"M.. mama.." Matanya bergerak-gerak dan terbuka. Aku merenung anak matanya dalam-dalam. Cikgu Nani.. engkaukah mama yang aku rindui selama ini? Sesungguhnya pencarianku selama ini terlalu kabur. Aku gagal menyedari kehadiranmu dalam hidupku. Kini.. aku telah temui mamaku.. Aku tak mahu segalanya berakhir di sini. Mama.. perlukan kita dipertemukan dalam keadaan begini..?

Siren ambulans menjerit, mahu mengambil mama dari ribaanku. Aku melepaskan dengan rela. Mama meluncur pergi. Aku ditinggalkan dengan saki-baki deringan siren yang membawa mama pergi. Pergilah mama, ada doa yang menemani mama di sana. Tuhan.. janjikan satu kebahagiaan buat kami..

Hasil karya,
Nazihah bt. Mohd Rashid
4 Ibnu Mubarak
Sek Men Islam Hira', Klang

Samudera Kehidupan

Sayup-sayup kedengaran,
Suara azan berkumandang,
Tangisan anak kecil,
Mencelikkan mata,

Bangkitlah si ibu,
Mendodoikan permatanya,
Dengan lesu yang belum terganti,
Penuh harapan,
Esok lusa kan besar jua,

Dalam meniti hari mendatang,
Terus dibelai, dimanja, dididik,
Segala pintamu mudah dituruti,
Segala sakitmu pantas diubati,
Segala kaperluanmu usaha dicari,

Masa terus merangkak,
Demikianlah pengorbanan,
seorang insan,
Yang ingin melihat kejayaanmu,

Akan tetapi,
Mengapa engkau terlalu sadis?
Bondamu kau tinggalkan,
Bondamu kau hina,
Apakah dosanya padamu?

Sanggupkah kau melihat,
bondamu terbujur kaku?
Sanggupkah kau membiarkan dia,
pergi tanpa keampunannya?


Bayangkanlah,
Siksanya bonda,
mengandungkanmu,
Melahirkanmu,
Yang mana ketika itu,
Bermandi peluh dan darah,
Dia berada di persimpangan...
HIDUP ataupun MATI.

Kini,
Bonda sudah tiada,
Penyesalan bercambah jua,
Jasadnya didakap, didampingi,
tangan tangisan,
Diusung dengan doa,
seorang anak...

Akan tetapi,
Seberat manakah doamu
kepadanya?
Sejauh manakah keperihatinanmu terhadapnya?
Seadalam manakah cintamu padanya?

Ingatlah insan seantero dunia,
Sesalan yang mengunjung,
Tiada siapa kan simpati,
Luahanmu menagih kasih bonda,
Yang pergi takkan kembali

Karya,
Maimanah bt. Mohd. Rashid
Satu Juara
SMSSMJ, SP

side01

kalendar

Kalendar

aktiviti

Aktiviti

ajk

AJK


Pengenalan

Biodata AJK

Personaliti KRJ

Sudut Karya

Laman Menarik

side02

Untuk maklumat lanjut hubungi:

Roha bt Hassan

roha_hassan@
jabil.com


Kembali ke atas

side03

64 Tingkat 2, Lebuh Bukit Kecil 1, Sg Nibong, 11900 Pulau Pinang. Tel/Fax: 04-6452740

Copyright © 1999 - 2002 Jamaah Islah Malaysia. All rights reserved.