logo jimjamaah islah malaysia (jim)

Dikemaskini pada 20-nov-02

laman utamaorganisasiinstitusiaktivitiperhubungan

 

 


Rangsang Minda dan Soal-jawab
Bersama
Motivator Dr. Hj. Danial bin Zainal Abidin
(M.B.Ch.B., University of Alexandria, Egypt)

Ruangan ini memuatkan jawapan kepada soalan-soalan yang diutarakan kepada Dr Danial. Soalan-soalan ini merangkumi pelbagai topik, dari masalah fiqh ke persoalan kesihatan.

  1. Alkohol dan Gelatin
  2. Letih dan hilang tumpuan
  3. Anti Politik

Alkohol dan Gelatin

Dari CURIOUS.

Dr. Danial yang hormati. Saya merupakan seorang pelajar Sains Farmasi tahun 3. Persoalan saya ialah apakah hukumnya penggunaan alkohol di dalamubat-ubatan pada hari ini dan penggunaan gelatin dari sumber yang haram,terutamanya dalam kapsul-kapsul ?

Jawaban

"Matinya seorang yang berilmu yang mengetahui halal dan haram adalah lebih tragis berbanding kematian seribu ahli ibadah (yang jahil) yang malamnya dipenuhi solat dan siangnya dengan puasa."

(Omar Al-Khattab)

CURIOUS yang dihormati.

Penglibatan di bidang Farmasi adalah dituntut oleh agama. Tahniah kepada CURIOUS kerana berada di bidang fardu kifayah ini. Satu ilmu yang perlu dikuasai ialah tentang batas-batas dan kaedah-kaedah berhubung halal dan haram.

Memang benar di bidang perubatan moden, alkohol digunakan dalam sesetengah ubat. Sebagai contohnya ubat batuk yang popular, Benadryl Expectorant. Ia mempunyai 1.0% alkohol.

Islam mengharamkan arak. Arak di dalam Al-Quran disebutkan sebagai 'khamr'. 'Khamr' adalah apa-apa saja yang memabukkan.

"Setiap yang memabukkan adalah arak. Setiap yang memabukkan adalah haram."

(Muslim)

Arak tidak boleh dijadikan sebagai ubat.

"Sesungguhnya (arak) bukanlah ubat, akan tetapi ia adalah penyakit."

(Tarmuzi - Hasan Sahih)

Inilah hukum tentang penggunaan arak 100% tanpa campuran dengan bahan-bahan lain.

Walau bagaimanapun, ulama berbeza pendapat tentang alkohol yang dicampurkan dengan bahan-bahan lain. Alkohol itu pula digunakan bukan sebagai bahan aktif dan dimasukkan pula dengan kadar yang sedikit. Yang aktif ialah bahan-bahan ubatan yang lain.

Syeikh Abdullah Nasih 'Ulwan telah merumuskan pendapat ulama Islam dengan berkata:

"Adapun sesetengah ubat yang terpaksa dicampurkan dengan alkohol kerana keperluan, adalah diharuskan penggunaannya, sekiranya diketahui bahawa sesuatu itu hanya boleh baik dengan menggunakannya."

(Tarbiyatul Awlad)

Dr. Abdul Karim Zaidan telah menyebutkan:

"Terdapat ubat-ubatan yang dicampuri dengan bahan alkohol dan bahan-bahan yang memabukkan. Adakah harus kita mengambilnya ataupun tidak? Jawabannya: Pada ketika ditimpa kesakitan yang di tahap darurat, diharuskan, dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Adapun jika tidak sampai ke tahap darurat, umpamanya, wujud keperluan untuk menggunakan ubat itu, adakah ianya diharuskan juga? Yang zahir bagi saya ialah diharuskan. Ini dikiaskan daripada apa yang telah difatwakan, sebagai contohnya oleh Al-Kasani di dalam 'Al-Badai' "

(Majmu'ah Buhuth Fiqhiyah - Dr. Abdul Karim Zaidan)

Rumusannya, diharuskan mengambil ubatan yang dicampuri sedikit alkohol, dengan dos yang ditetapkan sekadar perlu, untuk penyakit-penyakit tertentu. Walau bagaimanapun, saintis Islam perlu terus berusaha untuk mencari alternatif yang lebih baik dan lebih selamat.

Berhubung dengan gelatin, ia adalah sejenis protin dari haiwan. Ia banyak digunakan di dalam perubatan moden (allopathy), contohnya dalam kapsul ubat-ubatan, dalam sebahagian vaksin dan lain-lain lagi. Gelatin dibahagikan kepada dua: gelatin jenis A yang dikeluarkan terutamanya dari khinzir (porcine) dan gelatin jenis B yang dikeluarkan terutamanya dari lembu (bovine). Lebih kurang 85% produk perubatan yang menggunakan gelatin, mengambilnya dari haiwan jenis lembu (Sumber: FibroGen). Bakinya adalah dari sumber haiwan, terutamanya, khinzir (porcine). Gelatin dari sumber-sumber lain tidak begitu mantap untuk penggunaan.

Isu bagi umat Islam tentang gelatin ialah:

  1. Kesemua sumber gelatin hari ini adalah dari sumber haiwan.
  2. Ada gelatin yang diambil dari sumber khinzir. Daging khinzir secara dasarnya adalah haram dimakan.
  3. Yang dari sumber binatang yang halal dimakan, tidak dipastikan sama ada sembelihannya dilakukan dengan cara yang mengikut syariat. Bangkai, (termasuk binatang halal yang disembelih dengan cara yang tidak mengikut syariat), adalah haram dimakan.

Jika dapat dipastikan bahawa bahan-bahan gelatin itu diambil dari sumber dan dengan cara yang diizinkan syariat, atau dari keluaran negara-negara orang Islam dengan pengesahan yang rasmi, atau oleh syarikat-syarikat yang dikuasai oleh orang-orang Islam yang dipercayai, atau dari haiwan halal sembelihan ahli kitab, maka penggunaannya, secara dasarnya, adalah halal.

Keprihatinan ini adalah berdasarkan ayat Quran:

"Sesungguhnya diharamkan kepadamu bangkai, darah yang mengalir, daging babi dan apa yang disembelih untuk yang lain daripada Allah. Barangsiapa yang terpaksa (kerana keadaan darurat) tanpa sengaja, maka tidak ada dosa keatasnya."

(Al-Baqarah: 173)

Umat Islam perlu menjauhi bahan-bahan yang mempunyai unsur-unsur syubhat, apatah lagi yang jelas dari sumber yang haram, termasuklah dalam konteks penggunaan kapsul pada hari ini.

Justeru itu, kita perlu melahirkan ramai lagi pakar-pakar sains Islam yang bertakwa, agar mereka dapat membuat kajian tentang aspek-aspek yang seperti ini, di samping mampu mengujudkan alternatif-alternatif yang selaras dengan kacamata syariat.

Satu usaha yang baik yang telah dilakukan pada hari ini ialah mengeluarkan kapsul dari bahan BUKAN gelatin. Kapsul ini adalah dari bahan herba (vegetable), yang dipanggil 'vegacap.' Ia tidak mempunyai gelatin, kanji, dan bahan pengawet (Sumber: Herbal Nutrition Centre). Usaha-usaha yang seperti ini perlu dicontohi.

Moga-moga CURIOUS termasuk dalam golongan saintis yang seperti ini.

Wassalam.

DD

Kembali ke atas

Letih dan Hilang Tumpuan

Dari Student.

Dr. Danial yang dihormati. Saya merupakan seorang pelajar tahun akhir dalam bidang Teknologi Industri. Masalah saya ialah, saya mempunyai masalah untuk memberikan tumpuan kepada pelajaran sejak kebelakangan ini. Saya seringkali rasa mengantuk dan tidak bermaya. Apakah yang perlu saya lakukan?

Jawaban

"Orang mukmin yang gagah lebih baik dan lebih Allah kasihi dari mukmin yang lemah."

(Hadis Muslim)

Student yang dihormati.

Anda seorang pelajar yang sudah memasuki lorong-lorong kejayaan. Anda telah berjaya melepasi tahun-tahun awalan dengan baik. Sebab itulah sekarang anda berada di tahun akhir. Tahniah!

Di sudut fizikal, ada penyakit-penyakit yang boleh menyebabkan kita lemah dan tidak bermaya, contohnya kurang darah (anaemia), kencing manis, stress dan seumpamanya. Saya ingin mencadangkan agar anda mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan nasihat dari doktor anda.

Di samping itu ada beberapa nasihat tambahan yang hendak saya berikan.

1- Menjaga Makan Minum.

Lebihan karbohidrat (seperti nasi dan gula) pada masa tengahari, boleh menyebabkan keletihan di waktu petang. Karbohidrat mengeluarkan bahan serotonin dari otak yang boleh menyebabkan rasa mengantuk. Protin pula akan mengawal kesan pengeluaran serotonin ini (Sumber: Men's Health). Jadi makanlah secara sederhana dan seimbangkan di antara karbohidrat dan protin. Banyakkan sayur-sayuran. Sayur-sayuran mempunyai bahan serat yang mampu mengawal pengeluaran tenaga secara terkawal dan berterusan. Kecergasan anda banyak bergantung kepada apa yang anda makan dan minum.

2- Hormati 'Biological Rhythm' Anda.

Setiap insan mempunyai 'pusingan biologi' yang tersendiri. Ia seperti jam di dalam badan seseorang. Ia tentukan masa rihat, masa tidur, masa yang paling cergas dan seumpamanya. Biasanya masa cergas kita ialah pada awal 1/3 di sebelah siang. Sebolehnya, berikan tumpuan anda untuk mengkaji pelajaran pada masa ini. Jadualkan masa tidur anda secara sistematik. Kesilapan ramai orang ialah pada hari-hari biasa, mereka bangun tidur mengikut jadual yang tertentu. Tetapi di hujung minggu mereka keluarkan diri mereka dari jadual itu, biasanya dengan tidur berlebihan. Ini mengganggu pengeluaran hormon rangsangan yang bernama cortisol, yang mana pengeluarannya adalah dipengaruhi oleh waktu bangun tidur harian yang sistematik (Sumber: Sleep Disorders & Research Center, Detroit's Henry Ford Hospital). Gangguan tidur ini akan mengganggu kecergasan anda.

3- Tentukan Matlamat Dan Jiwainya.

Pemain bolasepak sanggup bersusah-payah demi mendapatkan gol. Itulah contoh tentang kejelasan matlamat dan menjiwainya. Tentukan 'gol' anda. Jelas tentang halatuju akan meningkatkan minat dan dengannya diri akan lebih terangsang. Minat juga dapat ditingkatkan dengan mengulangkaji pelajaran dengan rakan-rakan lain dan melibatkan diri anda dalam perbincangan.

Ingatkan diri anda bahawa anda sudah pernah berjaya sebelum ini.

4- Sembahyang Dan Doa.

Firman Allah yang bermaksud:

"Wahai mereka yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang yang sabar."

(Al-Baqarah: 153)

Kejayaan kita ditentukan oleh Allah. Oleh itu banyakkanlah sujud dan berdoa kepadaNya. Allah tidak pernah menzalimi manusia. Justeru itu, usah berputus asa. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya.

Tumpukan perhatian kepada besuk. Fokus kepada pencapaian dan kejayaan yang boleh diperolehi, anda akan dapat menumpukan perhatian kepada tugas anda pada hari ini. Selamat mencuba dan selamat maju jaya.

Wassalam.

DD

Kembali ke atas

ANTI - POLITIK

Dari Anti Politik.

Dr. Danial yang dimuliakan. Saya sering mendengar ustaz saya menyuruh kita memilih pemimpin yang baik. Saya berpendapat ustaz ini cakap politik. Saya kira dalam agama Islam tidak ada politik yang seperti itu. Pemilihan pemimpin adalah bab politik. Eloknya politik jangan dicampuradukkan dengan agama. Betulkah pandangan saya itu?

Jawaban

"Barangsiapa yang memegang kuasa tentang sesuatu urusan kaum muslimin, lalu dia memberikan suatu tugas kepada seseorang, sedangkan dia mengetahui bahawa ada orang yang lebih baik daripada orang itu,dia telah mengkhianati Allah, RasulNya dan kaum muslimin."

(Hadis Riwayat Al-Hakim)

Saudara yang dihormati

Secara umumnya, memilih adalah penting dalam Islam. Memilih juga ada hukumnya. Contohnya, dalam memilih isteri, perlu berhati-hati.

"...Pilihlah yang mempunyai kebaikan beragama, akan selamatlah kamu."

(Bukhari-Muslim)

Begitu juga dalam memilih suami.

"Jika yang datang meminang itu seorang yang kamu redhai di sudut agama dan akhlaknya, maka (terimalah) dan kahwinkanlah dia."

(Tarmizi)

Berhati-hati juga dituntut ketika memilih kawan.

"Manusia itu mengikut agama kawannya. Maka hendaklah diperhatikan siapa yang hendak dijadikan sebagai kawannya."

(Tarmizi)

Jika berhati-hati dituntut ketika memilih pasangan hidup dan kawan, maka pastinya, dalam konteks memilih pemimpin negara, ianya lebih dituntut. Kerana isunya lebih besar dan kesannya lebih meluas.

Inilah amanah yang penting yang ada perkaitannya dengan dunia dan balasan di akhirat.

Tugas kepimpinan bukanlah untuk sebarangan manusia.

"Berkata Allah: 'Sesungguhnya Allah akan menjadikan kamu sebagai Imam (pemimpin) untuk manusia.' Berkata Ibrahim: 'Dan dari keturunanku juga.' (Berkata Allah): 'JanjiKu tidak akan diberikan kepada mereka yang zalim.' "

(Al-Baqarah: 124)

Berkata Imam Qartubi: "Ayat ini (Al-Baqarah: 124) merupakan dalil untuk satu jamaah ulama Islam bahawa pemimpin-pemimpin itu mestilah dari golongan yang adil, ihsan dan mulia.....adapun yang fasik dan zalim, mereka tidak layak untuk menjadi pemimpin."

(Al Jami' li Ahkamil Quran - Qartubi)

Telah berkata Ibn Khuwaiz Mindad: "Dan tiap-tiap orang yang zalim tidak boleh menjadi Nabi, khalifah, hakim, mufti dan imam sembahyang. Dan tidak boleh di terima riwayat yang diriwayatkan mereka dari Nabi. Juga tidak boleh diterima saksian mereka di dalam hukum-hakam."

(Tafsir Qartubi)

Pendapat ini juga telah disebutkan oleh Imam Abu Bakar Al - Jassas di dalam kitabnya 'Ahkamul Quran.'

Jelas bahawa Islam amat prihatin dalam perkara memilih pemimpin ini. Berdosa hukumnya jika memilih pemimpin yang fasik dan zalim. Lebih dari itu, Nabi ada menegaskan bahawa jika seseorang pemimpin telah terlantik, dia perlu dijatuhkan jika berlaku beberapa perkara.

"Sebaik-baik pemimpin mu ialah mereka yang kamu kasihi dan mereka mengasihimu. Kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakanmu. Dan sejahat-jahat pemimpinmu ialah kamu membenci mereka dan mereka membencimu. Kamu mengutuk mereka dan mereka mengutuk mu. Sahabat-sahabat berkata: "Bolehkah kami menentang mereka?" Jawab Nabi: "Tidak, selama mana mereka tetap menegakkan sembahyang."

(Muslim)

Rumusan dari nas diatas ialah penentangan boleh dilakukan keatas pemimpin Muslim yang MENINGGALKAN SEMBAHYANG. Ia boleh dijatuhkan. Bagaimana jika seseorang pemimpin bersembahyang (atau diberikan sangkaan baik bahawa dia bersembahyang) tetapi melakukan kezaliman?

"... melainkan jika kamu melihat 'kufran bawaahan,' dimana di sisi Allah adalah merupakan bukti-bukti yang jelas."

(Muslim)

Maksudnya, jika berlaku 'kufran bawaahan,' seseorang pemimpin boleh ditentang dan dijatuhkan. 'Kufran Bawaahan' bermaksud 'kemaksiatan yang tersebar.'

Imam Nawawi menafsirkan ini sebagai: 'kemaksiatan yang berlaku yang mana kamu tahu tentang kemungkaran itu berlandaskan agama Allah dan kaedah-kaedah Islam."

(Syarah Muslim-Imam Nawawi. Bab 'Kewajiban Mentaati Pemimpin di Dalam Perkara Yang Tidak Maksiat')

Imam Abu Hanifah merupakan di antara ulamak Islam yang mengharuskan penentangan ke atas pemimpin yang zalim, walaupun mereka bersembahyang. Tetapi beliau meletakkan syarat bahawa penentangan itu hendaklah mempunyai kekuatan tertentu untuk dapat mendatangkan hasil yang baik untuk akhirnya dapat menggantikan pemimpin zalim itu dengan seorang yang adil.

(Khalifah wal Mulk- Abul 'Ala al-Maududi, Bab 7)

Pendapat ini telah dipegangi oleh ramai ulamak yang lain. Sebagai contohnya,

Qadhi 'Iyadh telah memfatwakan: "Andaikata berlaku keatas seseorang pemimpin itu TANDA-TANDA KEKUFURAN, PERBUATAN MERUBAH SYARIAT DAN PERLAKUAN BID'AH, MAKA WAJIBLAH DILUCUTKAN kepimpinan daripadanya dan gugurlah tanggungjawab ketaatan rakyat kepadanya. Malah berkewajiban untuk memecatnya dan digantikan dengan seorang yang adil."

(Syarah Muslim -- Imam Nawawi)

Satu bentuk kefasikan dan kezaliman yang besar ialah pengabaian keatas undang-undang Islam yang komprehensif, dan mengutamakan undang-undang lain.

Saidina Abu Bakar telah berkata: "Barangsiapa yang menjadi pemimpin ke atas umat Muhammad dan dia tidak menegakkan hukum dari Kitab Allah, baginya kutukan dari Allah."

(Kanzul 'Ummal, Jilid 5 Hadis 2505)

As-Syeikh Said Hawa berkata: "Tidak ada keadilan melainkan dengan hukum Allah. Sesiapa yang meninggalkan berhukum dengan apa yang Allah turunkan, maka sesungguhnya ia telah melakukan kezaliman."

(Al-Asas fit Tafsir)

Yang zalim, fasik serta mengecilkan hukum-hakam Allah tidak boleh dipilih sebagai pemimpin. Rumusannya, politik adalah sebahagian daripada agama Islam. Memilih pemimpin adalah sebahagian daripada politik Islam itu. Wajib melaksanakan kesemua aspek itu berpandukan syariat. Maka gunakanlah kuasa memilih saudara dengan baik.

Wassalam

DD

 

Kembali ke atas

64 Tingkat 2, Lebuh Bukit Kecil 1, Sg Nibong, 11900 Pulau Pinang. Tel/Fax: 04-6452740